Extracted from Utusan Online , 2004
Mehat - Bergadai nyawa selamatkan pemerhati PBB
``KALAU diminta bertugas sekali lagi sebagai pegawai pemerhati
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), saya akan pergi walau di ceruk
dunia mana sekalipun.
``Tetapi bukan Liberia. Cukuplah sekali saya alami peristiwa ngeri di
sana,'' kata Leftenan Kolonel Mehat Che Man, 45, pada penghujung
perbualannya dengan penulis di pejabatnya baru-baru ini.
Persoalan itu, sengaja penulis timbulkan selepas mendengar pengalaman
Kem Komandan, Kem Markas Medan Tentera Darat ini bertarung dengan maut
ketika ditugaskan di bawah Misi Pemerhati Tentera PBB di Liberia
(UNOMIL) dari 1 Januari hingga 30 April 1996.
Apa yang berlaku di sana umpama mimpi ngeri baginya. Menyorot kembali peristiwa tersebut, Mehat yang ketika itu berpangkat
Mejar berkata, ketika beliau berada di sana keadaan di Liberia telah
aman dan pihak pentadbiran PBB telah mula merangka usaha bagi
melaksanakan proses pilihan raya membentuk kerajaan baru.
Bagaimanapun, pada awal April tahun itu keadaan tiba-tiba menjadi tegang apabila puak-puak bertelagah kembali berperang. Sewaktu kekacauan bermula, kebanyakan pemerhati dan pegawai PBB di
Mamba Point (Markas UNOMIL) telah bersedia untuk melaksanakan proses
evakuasi (pengunduran) dengan berlindung di kedutaan Amerika Syarikat
(AS) dan seterusnya keluar dari negara itu atas faktor keselamatan. Bagaimanapun, ketika itu ada lima pemerhati PBB di Suehn yang masih gagal berkumpul di kedutaan tersebut.
Oleh kerana itu, Ketua Pemerhati Malaysia yang juga selaku Timbalan
Komander UNOMIL, Brigedier Jeneral Abdul Wahid Anuar telah mengarahkan
Mehat yang juga Penolong Ketua Team Side UNOMIL di Suehn ke sana untuk
menyelamatkan mereka selepas di kepung puak militia. Walaupun laporan menyebut situasi di pos PBB Suehn agak
membimbangkan, namun demi memikirkan keselamatan rakan-rakan setugas
lain di sana, Mehat gagahkan juga dirinya melakukan tugas tersebut. Misinya, kelihatan agak mudah. Terbang ke Suehn menaiki helikopter,
diturunkan ke sana dan kemudian bergegas membawa keluar lima pemerhati
itu dari situ.
Tetapi apabila misi dimulakan, satu demi satu halangan muncul. Bermula dengan ketiadaan orang yang sanggup menghantar Mehat ke
Lapangan Terbang Sprigg Payne yang telah musnah untuk menaiki
helikopter, perjalanan ke sana juga berhadapan dengan bahaya peluru
sesat akibat pertempuran yang tercetus di bandar Monrovia. Ekoran itu, beliau terpaksa menaiki helikopter PBB dari pangkalan ECOMOG untuk menuju ke Suehn. Selepas menempuh perjalanan selama kira-kira 20 minit, juruterbang
akhirnya mendarat kira-kira 200 meter daripada tempat perlindungan para
pemerhati PBB yang akan diselamatkan.
Ketibaan mereka bagaimanapun disambut oleh ratusan militia yang
melepaskan tembakan. Keadaan itu mula menakutkan juruterbang yang
akhirnya mengambil keputusan meninggalkan sahaja Mehat dan lima
pemerhati yang sepatutnya diselamatkan di situ. Sebaik dibawa memasuki sebuah rumah tempat pemerhati tersebut berada,
Mehat terkejut kerana pemerhati yang masing-masing dari Jordan,
Bangladesh, Kenya, China dan Pakistan itu hanya memakai seluar dalam.
Mereka juga kelihatan letih, lesu dan agak ketakutan selepas dipukul dan
didera dengan senjata sepanjang dikurung puak militia. Mereka ditawan kerana puak militia mahu menjadikan mereka sebagai
perisai manusia seterusnya mengugut pentadbiran PBB di Liberia agar
menangkap Rosevelt Johnson yang mengetuai United Liberarian Movement for
Democracy ini Liberia (ULIMO-J).
Walaupun begitu, Mehat tetap cuba berbincang dengan kumpulan tersebut
agar membebaskan mereka. Tetapi puak militia yang sebahagian besarnya
terdiri daripada kalangan remaja itu enggan. Malah mereka menjadikan
pula Mehat sebagai tawanan terbaru mereka. ``Waktu itu, saya juga diminta menanggalkan semua pakaian dan hanya dibenar memakai seluar dalam. ``Sepanjang ditawan, banyak perkara yang terlintas di hati saya
termasuk kemungkinan dibunuh oleh militia yang terkenal dengan sikap
kejam mereka,'' ujar beliau.
Ada kalanya, air matanya berlinangan memikirkan anak dan isteri yang
mungkin tidak akan dapat berjumpa dengannya lagi selepas itu. Jika dibunuh, tentu sukar untuk PBB mencari jasad mereka untuk
dihantar pulang ke tanah air masing-masing. Disebabkan perasaan bimbang
jugalah, Mehat sentiasa mencari jalan untuk melarikan diri. Bagi Mehat, peluang untuk selamat tetap ada kerana beliau tahu arah atau jalan yang sesuai untuk melarikan diri ke Monrovia.
Malah tugasnya, sebagai Pegawai Gerakan Udara di Ibu Pejabat UNOMIL
selama tiga bulan sebelum itu yang menyaksikannya banyak bergerak
menggunakan helikopter, membolehkannya mengetahui kawasan atau
jalan-jalan yang sesuai untuk melarikan diri. Namun, kesemua pemerhati terbabit tidak mahu mengikutnya pada
peringkat awal. Mereka takut akan tertangkap dan dan dibunuh militia
sambil mengharap PBB akan menghantar pihak lain untuk menyelamatkan
mereka.
Bagaimanapun, selepas menyakinkan mereka, akhirnya mereka bersetuju
mengikutinya. Baginya, jika terus berada di situ lambat laun mereka akan
dibunuh juga. Lagipun, sikap seorang pemerhati yang sering bertukar
menjadi histeria setiap kali mendengar bunyi tembakan, sering
mencemaskan Mehat. Lantaran itu, beliau nekad untuk melarikan diri apabila tiba masa
yang sesuai.Dengan bantuan peta yang dibawanya, beliau mengatur
rancangan untuk melarikan diri ke Pelabuhan Freeport, Monrovia kerana
mendapat tahu hanya melalui jalan laut sahaja yang akan membolehkan
mereka keluar dari Liberia.
Satu malam, puak militia mengadakan parti secara besar-besaran. ``Masa itu, saya fikir inilah peluang terbaik melarikan diri selepas
melihat ramai di antara mereka telah mabuk dan khayal selepas mengambil
ganja,'' terangnya. Kira-kira pukul 6 pagi pada 13 April, di kala semua militia sedang
nyenyak tidur bergelimpangan, mereka melarikan diri menuju ke sebuah
kampung selepas merangkak keluar dari rumah tahanan secara taktikal. Selepas berjaya keluar, mereka berjalan melalui celah-celah hutan kecil mengikut trek tanah merah berpandukan peta. Tiba di kampung berhampiran, mereka mengambil sebarang pakaian yang
dijumpai. Kebanyakannya uniform yang mirip milik tentera AS dan Mesir.
Walaupun, terpaksa mencuri, namun itu sajalah cara terbaik untuk menyamar diri daripada ditangkap militia. Mereka juga melumurkan arang ke anggota badan untuk mengelirukan
militia. Maklumlah, pemerhati dari Jordan dan China agak cerah dan ini
boleh mengundang perhatian militia lain. Setelah berjalan kira-kira empat kilometer dari kampung berkenaan,
mereka terjumpa sebuah trak kecil milik tentera ECOMOG tersadai di
sebuah kampung. Mereka bernasib baik kerana kunci trak masih terdapat di situ.
Selepas mencuba beberapa kali, akhirnya enjin trak yang mempunyai kesan
ditembak dan cermin pecah itu dapat dihidupkan.
Walaupun begitu, masalah lain pula timbul. Jika mereka sendiri yang
memandunya, tentu sukar untuk mereka melepasi sekatan jalan yang dibuat
oleh kumpulan-kumpulan militia. Disebabkan itu, mereka mengambil keputusan untuk mencari penduduk
yang sanggup untuk membawa mereka ke pelabuhan Freeport. Akhirnya,
seorang lelaki bersetuju untuk menghantar mereka ke sana selepas di
janjikan upah yang lumayan. Untuk mengelak daripada dikesan ketika dalam perjalanan, mereka
berenam terpaksa meniarap di atas lantai trak dengan diselimuti kanvas,
kayu-kayu dan rumput kering. Tujuannya untuk mengaburi, kononnya trak
itu hanya membawa kayu api.
Mehat memang menjangka kehilangan mereka lambat laun akan diketahui
dan pasti dicari puak militan di Suehn. Dalam perjalanan merentasi tanah
merah, mereka menempuh tujuh sekatan jalan raya. ``Kami tidak tahu pihak mana yang buat sekatan. Tetapi setiap kali
tiba di sana kami dapati pemandu tersebut ditanya banyak soalan. ``Pada masa yang sama, kami bersedia untuk menyelamatkan diri, takut puak militia ternampak kami,'' katanya. Dari celah-celah kanvas dan kayu juga, masing-masing dapat melihat apa yang berlaku melalui enam sudut pandangan berbeza.
Pada sekatan yang ketujuh dan terakhir, trak mereka ditahan agak lama
dan ini meresahkan mereka. Yang hanya kedengaran hanyalah suara pemandu
yang sekali-sekala bertengkar dengan militia di situ. Ketika di sekatan ini juga Mehat dapat melihat banyak tengkorak manusia tergantung di palang kayu yang menjadi penghadang jalan. Ada antara tengkorak itu yang masih disaluti daging dan kulit manusia, dipacak pada batang-batang kayu. ``Keadaan itu betul-betul menggerunkan saya. Terfikir juga kalau kepala saya dipacakkan sebegitu jika tertangkap. ``Masa itu juga, segala ayat al-Quran yang saya tahu, saya baca tanpa henti,'' katanya. Selepas pemandu berbincang sesuatu dengan ketua puak militia di situ, akhirnya mereka dibenarkan meneruskan perjalanan.
Tidak lama kemudian, trak mula memasuki jalan raya berturap, menandakan ia sudah tidak berapa jauh dari Monrovia. Sepanjang perjalanan juga, mereka dapat melihat kesan-kesan kenderaan
dibakar, mayat-mayat yang bergelimpangan termasuk yang telah busuk dan
reput tanpa ada siapa yang mahu mempedulikannya. Pemandangan ngeri itu berterusan sehinggalah mereka tiba di
Riverview, Monrovia kira-kira pukul 3 petang setelah merentasi
perjalanan sejauh kira-kira 40 kilometer yang mengambil masa 10 jam.
Ketibaan mereka mengejutkan pihak Markas UNOMIL kerana mereka berjaya tiba dengan selamat.
Di situ juga, keenam-enam mereka dimaklumkan akan dibawa keluar
dengan kapal laut dari Monrovia ke Freetown pada 14 April yang
kemudiannya ditunda kepada pagi 15 April. Ketika menuju ke pelabuhan, Mehat dapat melihat ribuan orang sedang
berpusu-pusu ke arah yang sama. Selepas meredah lautan manusia yang
seperti pelarian itu, akhirnya mereka tiba di pelabuhan pada pukul 11
pagi. Ketika itu yang masih berlabuh ialah Victory Referee, kapal dagang
milik sebuah negara Afrika yang terperangkap di pelabuhan tersebut
sewaktu kekacauan meletus.Disebabkan tiada kapal lain, maka semua yang ada di situ
berebut-rebut untuk menaiki kapal berkenaan termasuk pemerhati PBB dan
warga asing.
Tanpa disangka, dalam kekalutan yang berlaku, Mehat terjumpa dengan
Abdul Wahid yang turut sedang berusaha untuk menaiki kapal yang sama. Memandangkan Victory Referee merupakan kapal terakhir yang akan
meninggalkan Liberia, maka mereka terpaksa berasak-asak dengan orang
lain untuk menaiki kapal berkenaan dan akhirnya berjaya.Dari atas kapal itu juga, mereka dapat melihat banyak bot-bot kecil
yang dinaiki pelarian cuba menghampiri kapal tersebut. Berpuluh yang
lain cuba menaiki kapal dengan bergayut pada tali sauh. Disebabkan ramai yang berdegil mahu menaiki kapal itu walaupun telah
sesak, maka kapal hanya dapat bertolak pada kira-kira pukul 7 malam pada
15 April walaupun asalnya dijadualkan pada pukul 12 tengahari.
Itupun selepas anak-anak kapal terpaksa memotong tali sauh dan
menolak ribuan manusia lain yang tetap berusaha menaiki kapal tersebut
meskipun ketika itu kira-kira 1,000 orang telah berada di atas kapal
sedangkan muatan yang dibenarkan hanya 300 orang. Dengan membuat muatan yang melebihi had yang dibenarkan, maka kapal itu hanya dapat belayar dengan kelajuan lima knot sahaja. Keadaan atas kapal juga amat sesak dan tanpa bekalan air. Ramai juga
yang sakit. Di samping itu, setiap penumpang hanya mempunyai ruang untuk
duduk sahaja. Tiada ruang untuk berbaring atau melunjurkan kaki. Pada hari pertama pelayaran, tiada kejadian yang tidak diingini
berlaku. Tetapi, menjelang malam hari kedua, kapal dipukul angin ribut
dan ombak kencang. ``Waktu itu juga kami mendengar sua-ra orang meminta tolong selepas tercampak di dalam laut. ``Tiada siapa yang dapat menolong mereka, kerana masing-masing takut
akan turut tercampak dari kapal,'' katanya sambil memberitahu ribut itu
hanya reda dua jam kemudian.
Hari ketiga pelayaran menyaksikan sesuatu yang tidak diduga berlaku apabila tiba-tiba kedengaran tembakan dari tengah laut. Tembakan itu menimbulkan situasi cemas di atas kapal. Dalam keadaan
kelam kabut itu, Mehat dapat melihat dengan jelas kehadiran lima buah
bot yang dinaiki kumpulan bersenjata dipercayai lanun.Di kala bot-bot lanun cuba merapati kapal tiba-tiba seorang tentera
pengaman ECOMOG berpakaian awam yang kebetulan turut menaiki kapal itu
melepaskan tembakan ke atas lanun-lanun terbabit.
Walaupun hanya seorang diri, tentera ECOMOG itu membalas setiap
tembakan lanun dan ini menyebabkan mereka akhirnya terpaksa melarikan
diri.
Kehadiran tentera ECOMOG itu memang tidak dijangkakan. Jika tidak
mungkin sekali lagi Mehat dan rakan-rakannya akan alami semula nasib
malang seperti di Suehn. Selepas belayar selama tiga hari dua malam, akhirnya mereka tiba di
Freetown. Dari pelabuhan Freetown, esoknya mereka diterbangkan ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Sierra Leone diikuti ke Lapangan Terbang
Dakar, Senegal. Pada 28 April 1996 bersama beberapa pegawai pemerhati PBB yang lain
Mehat meninggalkan Senegal untuk menuju ke tanah air, membawa sekali
pengalaman ngeri yang dilaluinya.
Biarpun begitu, kepintaran Mehat mengatur strategi untuk
menyelamatkan lima pemerhati PBB itu telah membuktikan kehebatan yang
dimiliki oleh warga Tentera Darat sekali gus menaikkan imej negara dan
Angkatan Tentera Malaysia di mata dunia. Ekoran kejayaan itu jugalah, maka beliau yang dianggap wira oleh
rakan-rakan setugas di Liberia telah diberikan surat penghargaan oleh
Komander UNOMIL.
No comments:
Post a Comment