Credit to Panggilan Pertiwi
'Tentera Darat Malaysia
19h ·
PERBARISAN PENGHARGAAN SEMPENA PERSARAAN LT JEN DATO' SUHAIMI BIN HAJI MOHD ZUKI
KEM TERENDAK, 5 Sep 2020 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah menyempurnakan Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan Lt Jen Dato' Suhaimi bin Hj Mohd Zuki bertempat di Padang Kawad Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (17 RAMD Para), Kem Terendak, Melaka.
Perbarisan tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada Lt Jen Dato' Suhaimi bin Hj Mohd Zuki yang akan bersara menamatkan perkhidmatan setelah hampir 42 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Beliau yang ditauliahkan pada 23 Jun 1979 akan menamatkan perkhidmatan secara rasminya pada 8 September 2020.
Beliau bukanlah asing bagi 10 Briged Para dan 17 RAMD Para di mana beliau merupakan Panglima Ke-10 bagi 10 Briged (Para) dan juga Pegawai Memerintah Ke-15 bagi pasukan 17 RAMD Para.
Perbarisan penghargaan tersebut terdiri dari anggota di bawah naungan 10 Bgd Para berkekuatan 25 Peg dan 792 anggota Lain-Lain Pangkat diketuai oleh Pegawai Memerintah 17 RAMD Para, Lt Kol Anwar Zamani bin Jusop.
PTD dalam ucapannya menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Lt Jen Dato' Suhaimi bin Haji Mohd Zuki di atas segala sumbangan jasa serta perkhidmatan yang telah beliau berikan kepada Tentera Darat Malaysia (TDM). Beliau adalah di antara Pegawai Kanan TDM dan Kor RAMD yang boleh dijadikan sumber inspirasi kepada semua warga TDM. Ketokohan beliau harus dicontohi oleh seluruh warga Kor RAMD dalam usaha memartabatkannya sebagai sebuah Kor yang unggul dan kredibel. Menurut PTD lagi, persaraan Lt Jen Dato' Suhaimi bin Hj Mohd Zuki merupakan suatu kehilangan yang besar kepada TDM amnya dan Kor RAMD khasnya.
Sepanjang perkhidmatan beliau, Lt Jen Dato’ Suhaimi telah menjawat pelbagai jawatan penting antaranya sebagai Panglima 10 Bgd Para, Penasihat Ketenteraan kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Komandan di INSPEKA, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan, Panglima di Markas Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Panglima Latihan di MPLDTD, Asisten Ketua Staf Cawangan Sumber Manusia, Ketua Eksekutif di MiDAS dan juga Tim Ketua Nukleus di King Salman Center for International Peace (KSCIP). Perjawatan terakhir yang disandang beliau adalah sebagai Panglima Angkatan Bersama.
Bagi memenuhi keperluan kerajaan dalam membendung dan memutuskan rangkaian penularan COVID-19, sesuai dengan norma baru serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan, perbarisan dilakukan secara statik dengan penjarakan anggota yang berbaris lebih jauh berbanding biasa. Anggota perbarisan dan tetamu tentera yang hadir dikehendaki menggunakan hand sanitizer, menjalani saringan suhu serta mengamalkan penjarakan fizikal. Setiap anggota perbarisan memakai penutup mulut yang seragam bercorak celoreng.
Turut hadir dalam acara tersebut adalah Panglima Medan Barat Tentera Darat selaku Pengerusi Kor Rejimen Askar Melayu Diraja, Lt Jen Dato' Mohammad bin Ab Rahman, Panglima 3 Divisyen, Mej Jen Dato' Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim, Panglima 10 Briged Para, Brig Jen Hj Semaon bin Hj Marjuki dan Pegawai-Pegawai Kanan 10 Briged Para.
Selamat bersara YBhg Dato'.'