Friday, August 20, 2021

'Kelopak peluru penyelamat serangan hendap pengganas' ~ Mej Jen Datok Ahmad Noor Tuan Kechik

 Article courtesy of 'Berita Harian' with thanks. 

'KOTA BHARU: Peristiwa getir dihujani peluru dan saling berbalas tembakan dengan musuh hingga hampir meragut nyawa, masih segar dalam ingatan Mejar Jeneral (B) Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik.

Ibarat hanya sejengkal daripada ajal, bapa kepada tiga anak ini, berkata detik cemas itu dialaminya ketika bertempur menentang pengganas komunis dalam Operasi Kota Foxtrot di Perak pada Mei 1985.

Beliau ketika itu adalah Penolong Ketua Kompeni D yang ditugaskan mengetuai platun bersama 24 anggota bagi menjejaki pengganas komunis, selepas bunyi ketukan buluh yang sengaja dilakukan oleh musuh didengari bagi menarik perhatian askar Melayu.

"Selepas mendapat arahan, kami keluar untuk menjejaki pengganas komunis pada malam keesokan harinya dan bunyi ketukan buluh itu semakin jelas dan kuat.

"Bagi mengelak dikesan musuh, kami berpecah kepada dua kumpulan. Hanya pada hari ketiga, musuh dapat dijejaki, lalu saya bersama dengan beberapa anggota mara membuat tinjauan dan ketika itulah berlaku pertempuran.

"Kami dihujani peluru dan saling berbalas tembakan dengan musuh yang dianggarkan seramai 15 orang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Panji, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak komunis itu, beliau hanya berada dalam jarak kurang 30 meter dan ditembak secara rambang oleh seorang daripada komunis.

Mejar Jeneral (B) Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik berkhidmat sebagai anggota tentera selama lebih kurang 41 tahun selepas bersara pada 2018. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
 

"Nyawa saya terselamat kerana tembakan itu tidak terkena pada bahagian perut kerana dilindungi kelopak peluru di vest yang dipakai, selain hanya udi senjata yang pecah.

"Komunis beranggapan saya cedera terkena tembakan dan menghampiri saya untuk mengambil senjata, tetapi saya terus bangun dan menembak ke arahnya menyebabkan dia berguling untuk menyelamatkan diri.

"Dalam pertempuran itu juga saya melontar bom tangan ke arah pengganas komunis, sebelum melaungkan kepada anggota platun terus mara ke hadapan dan ia menyebabkan musuh berundur kerana mengesyaki kami dalam kumpulan yang ramai.

Koleksi gambar Mejar Jeneral (B) Datuk Tengku Ahmad Noor Tuan Chik. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
 

"Bagaimanapun, operasi menjejaki pengganas komunis tidak boleh diteruskan kerana pihak musuh sudah melarikan diri ke Selatan Thailand," katanya yang menamatkan perkhidmatan pada 2018 sebagai Ketua Staf Markas Medan Barat Tentera Darat di Kem Sungai Besi.

Beliau berkata, peristiwa lain yang tidak dapat dilupakan ialah ketika Operasi Sedar Gubir di Kedah pada 1982 apabila tiga anggotanya mengalami cedera parah selepas terkena jerangkap samar.

Katanya, ketika kejadian itu mereka digerakkan untuk membantu Kompeni B, Batalion 18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) yang diserang oleh pengganas komunis dan mengakibatkan tiga anggota cedera ditembak ketika membuat penjejakan sehingga ke kem pengganas komunis.

"Selama dua bulan kami menjalankan operasi menjejaki pengganas komunis dan dalam tempoh itu, keadaan amat merbahaya, banyak berlaku kejadian jerangkap samar dan serang hendap oleh pengganas komunis.

"Namun di atas semangat keberanian dan setiakawan dalam kumpulan, kami berjaya untuk menghapuskan pengganas komunis daripada bertapak di negara tercinta," katanya.

 

 

 

No comments: