Tuesday, January 21, 2025

21012025 - Keputusan rayuan kerajaan berhubung penyelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tetapkan pada hari lain

 Extracted from Facebook Group 'Veteran Angkatan Tentera Malaysia' with thanks.

Tokyeb Hj Maulut is at Istana Kehakiman, Putrajaya.

21 JAN 2025 5:01 PM
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa menetapkan tarikh lain untuk keputusan rayuan kerajaan berhubung penyelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hashim Hamzah memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali dan peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Hashim yang bersidang bersama hakim, Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim kemudiannya memilih 3 Februari depan untuk pengurusan kes berkenaan.
Semasa hujahan, Ahmad Hanir yang mewakili empat perayu berkata, perbezaan pencen yang diterima oleh setiap plaintif adalah tidak bergantung kepada tarikh persaraan, sebelum atau selepas 1 Januari 2013.
Sebaliknya beliau berkata, ia mengambil kira tempoh perkhidmatan, pangkat dan gaji akhir.
Sebahagian daripada ahli veteran ATM hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa bagi mengikuti prosiding berhubung penyelarasan pencen pesara.
Sebahagian daripada ahli veteran ATM hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa bagi mengikuti prosiding berhubung penyelarasan pencen pesara.
Beliau berkata, menerusi rayuan sekarang, tiada semakan gaji dibuat oleh kerajaan selepas tahun 2012 yang akan mencetuskan pelarasan menurut Peraturan 54 Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-faedah Lain) 1982.
Bukan itu sahaja, sehingga kini pelarasan pencen pesara ATM itu, dikawal selia mengikut Peraturan 54 terbabit,” katanya yang hadir bersama Peguam Persekutuan, M Kogilambigai.
Susulan itu, beliau memohon mahkamah membenarkan permohonan mereka, bahawa tiada pelanggaran dalam Perkara 137 atau 8 Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972 dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Sementara itu, Mohamed Haniff menghujahkan bahawa terdapat jurang yang ketara membabitkan veteran ATM yang bersara pada sebelum dengan selepas tarikh itu.
Menurutnya, pencen veteran ATM yang bersara sebelum tarikh itu, tidak sepadan dengan gaji terakhir diterima, menunjukkan berlaku perlanggaran dalam Peraturan 51.
"Kenaikan tahunan sebanyak dua peratus juga kurang memuaskan daripada skala gaji semasa, maka ia tidak berperlembagaan.
"Berdasarkan hujahan kami, jelas bahawa perayu telah melanggar peruntukan di bawah Perkara 137 dan 8 itu kerana gagal membuat pelarasan pencen untuk semua veteran ATM.
"Mereka yang bersara sebelum tarikh berkenaan perlu memiliki pencen yang diselaraskan mengikut kadar sama selepas tarikh berkenaan,” katanya.
Pada 5 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman pemula yang difailkan Mior Rosli Mior Md Jaafar bersama 49 veteran ATM lain pada 17 November 2022, berhubung penyelarasan pencen mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Mereka menamakan semua perayu iaitu kerajaan, Majlis Angkatan Tentera, Menteri Kanan Pertahanan Malaysia dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan pertama hingga keempat.
Menerusi saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa defendan telah memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau 8 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972 dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Mereka juga memohon pencen semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 diselaras mengikut kadar dan cara sepertimana pencen pesara ATM selepas tarikh tersebut, seterusnya, dengan keperluan untuk meminda Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982 untuk dimasukkan peruntukan perihal penyelarasan pencen yang baharu seperti diperintahkan oleh mahkamah.
Mereka mendakwa ketidakpenyelarasan pencen itu merupakan satu pelanggaran hak-hak asasi yang dijamin oleh Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa mereka terkilan dengan ketidakpenyelarasan pencen berkenaan.
Plaintif mendakwa disebabkan ketidakpenyelarasan pencen itu, berlaku jurang yang ketara antara pesara ATM terbabit dengan mereka yang bersara selepas tarikh itu.
Dakwa mereka, jurang itu turut menafikan hak pesara terbabit untuk menikmati pencen atau kenaikan yang sama dengan pesara ATM lain dan ia merupakan satu perlanggaran hak asasi di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.


No comments: